sila tinggalkan blog anda, saya akan melawat kembali!!

Pages

Sunday, July 12, 2009

11 hadiah mesra rakyat

11 hadiah mesra rakyat

Oleh Khirul Bahri Basaruddin
bminggu@bharian.com.my


Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang menyambut 100 hari sebagai Perdana Menteri semalam, mengumumkan 11 hadiah kepada rakyat.

Berucap pada majlis 'Seratus Hari Najib Bersama Rakyat 11 Julai 2009' di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, beliau berkata, ini termasuk mewujudkan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia), pemberian diskaun kepada pengguna jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan pengurangan caj bayaran latihan penunggang motosikal.

Katanya, penubuhan tabung AS 1Malaysia di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini.

"Tabung ini dijangka memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang. Penubuhan itu langkah tambahan kepada dana amanah saham sedia ada," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu yang penuh sesak.

Dalam ucapan bertajuk Warkah Harapan, Najib berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM100 juta Skim Amanah Saham Wawasan bagi golongan miskin tegar bandar bagi meringankan beban mereka terutama pada hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak.

"Menjelang 2010, kira-kira 10,000 isi rumah miskin tegar bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih," katanya.

Najib juga mengumumkan potongan harga 20 peratus kepada pengguna kad prabayar SmartTag dan Touch 'N' Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan berkuat kuasa 1 September ini.

Perdana Menteri berkata, potongan itu bagi meringankan beban pengguna lebuh raya dan bersifat penyelesaian sementara bagi menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang akan mengambil masa.

"Saya pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dia terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan, manakala gaji bulanannya RM3,000. Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan setahun kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

"Ini (potongan) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutama yang menggunakan jalan tol setiap hari," katanya dalam ucapan hampir 50 minit yang disifatkan sebagai perjumpaan yang bersejarah kerana setiap keputusan yang dibuat itu adalah istimewa untuk rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik mengikut Program Perumahan Rakyat (PPR) dan memutuskan penyewa program itu di Wilayah Persekutuan diberi peluang dan pilihan untuk membeli rumah sewa itu.

Sehubungan itu, katanya, sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Selain itu, hadiah untuk rakyat membabitkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil juga diumumkan Najib apabila 69,000 golongan itu di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan 50 peratus atau RM10 hingga RM700 setahun bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

"Ini akan memberi banyak kelegaan... saya harap negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen lain juga akan dikurangkan, " katanya.

Katanya, kerajaan juga mempunyai dasar bagi membantu pemandu teksi dan ketika ini ada ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran RM50 sehari, selain kos lain seperti minyak.

Berikutan itu, kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, iaitu pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang sudah diberikan setakat ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang.

"Saya mendapati ramai penunggang terutama anak muda yang menunggang motosikal 'kapcai' tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan agak tinggi, RM500 hingga RM700 seorang. Berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan ini, " katanya sebagai mengulas reaksi tepukan gemuruh daripada ramai hadirin terutama pelajar sekolah.

Selain itu, katanya, peruntukan skim Tekun Nasional ditambah RM150 juta lagi dan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.

Mengenai kewarganegaraan, Najib mengumumkan jumlah permohonan tertangguh pada 1 November 2008 sebanyak 34,000, dan sehingga bulan lalu, sebanyak 46 peratus sudah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Katanya, terdapat ramai ibu bapa yang lambat mendaftarkan kelahiran anak mereka dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.

"Di Sabah, sejak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan. Di Sarawak pula, sejak 2005, 19,000 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 80 peratus permohonan diluluskan, " katanya.

Berhubung infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, katanya, kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri itu, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.

Najib juga berkata, liputan bekalan air minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.

Selain itu, Najib juga mengumumkan kerajaan akan mengambil langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.

FAKTA

1- Diskaun tol Pengguna Smart Tag dan Touch n' Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, dapat diskaun 20 peratus.

2- Rumah rakyat
44,000 rumah rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

3- Lesen penjaja
Peniaga kecil di Wilayah Persekutuan diberi potongan 50 peratus untuk perbaharui lesen.

4- Permit teksi
3,000 lagi permit teksi untuk individu ditambah dalam masa tiga bulan akan datang.

5- Cegah jenayah
Langkah drastik bagi kurangkan jenayah dan rasuah diumumkan penghujung bulan ini.

- Daftar kelahiran
Permohonan di Sabah dan Sarawak dipermudahkan. Baki permohonan akan diselesaikan sedikit masa lagi.

7- Jalan luar bandar
Pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak ditambah dalam tempoh RMK-10.

8- Bekalan air dan elektrik
Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah Dan Sarawak. Perincian diumumkan akhir bulan ini.

9- Latihan motosikal
Kadar bayaran latihan tunggang motosikal 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

10- Tambah peruntukan
Peruntukan Tekun Nasional ditambah RM150 juta dan RM15 juta untuk usahawan muda India.

11- Unit amanah
Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan.


sumber dipetik:

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/BeritaUtama/20090711235504/Article


* huhuhu.. ni adalh berita baik.. pe lagi.. kawan2 yg x de lesen tu grab la peluang ni... terutama minah2 moto seperti ku.. hehehe.. Y2K ducati womwn racing team...Vroooommmmmmmmm..

0 comments: